Tuesday 29 September 2009

Sesi mencuci sawang dan habuk-habuk maya...konon

Raya tahun ini agak tenang untuk fizikal saya.Lepas solat raya tak perlu berebut-rebut beratur depan masjid ambil duit raya.Harus ada skill untuk dapat duit raya cepat sebetulnya.Untuk budak-budak takkan saya masih mahu beratur sekali.Segan seadanya dan sedar diri seperlunya.Dan Luqman bertindak bijak dengan membuat barisan sendiri.Lebih bijak dari kami dulu-dulu.Sekarang rakyat 1 Malaysia sudah pulang ke asrama,masuk kuliah,ke pejabat,ke tempat kerja,saya sambung percutian saya.Kah kah kah.Rasa macam tak bertanggungjawab tapi apakan daya tiket tersambung pula.'Ter'.

Hari ini ke sekolah Mak.Menumpang kasih wifi di sini.Wifi di kampung sudah tak boleh dikasihkan lagi.Sebab encik pegawai itu tak mahu membaiki.Sungguh tidak pengasih.Dan tidak bertanggungjawab.Takkan mahu tunggu laporan baru boleh buka mata dan angkat spanar.Abah kata kondisi di kampung begitulah.Okay perlu terima.Seronok juga di sini sebenarnya bila murid-murid jumpa saya dan berkata, "Assalamualaikum cikgu''.Sangat comel.

Di kesempatan ini saya mahu mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada sahabat saya Wan Nor Sitah dan suami,semoga berkekalan ke anak cucu.Sayang tak dapat pergi kenduri tapi kamu sangat cantik berbaju merah itu.Sangat.

Dan kepada sahabat yang akan melangkah ke dunia baru gitu,tahniah.Perkara baik jangan dilewatkan.

Dan saya tak mahu balik Mesir lagi wawawawa~~


.

Tuesday 15 September 2009

Mama Carries


Kami pergi ke Giant beberapa hari sebelum.Sebetulnya Mak mahu mencari ready-made Mama Carries tapi bila dah jumpa tak berkenan pula.Yalah sudah pecah-pecah lebih baik buat sendiri kan.Lebih puas hati katanya.

Bahan-bahan:
250gm buttercup
tepung gandum (agak-agak doh boleh diuli)
100gm gula aising
setengah sudu esen vanilla
kelapa kering (boleh juga guna nestum,oat atau apa-apa)

Untuk topping :
sebiji putih telur (dipukul hingga kembang)
90gm gula aising
satu sudu tepung jagung
(untuk lorekan cuma tambah serbuk koko)

Cara-cara:
1.Uli bahan-bahan hingga boleh diuli dan ditekap.
2.Tekap dengan acuan dan letakkan ke dalam loyang yang disapu minyak.
3.Letakkan topping dan lorekan.Lorekan biasanya menggunakan jarum peniti atau lidi.
4.Bakar pada suhu 150 C selama 15-20 minit.

Selamat mencuba!


.

Tuesday 8 September 2009

Mungkinkah...?


Hajat di hati mahu memiliki.Nyatanya bukan sekaranglah.Salahkah punya impian setinggi gunung?Sekilas pandangan jiwa pun berangan,kononnya klinik ini saya yang punya.Lepas tangkap gambar ini saya langsung gelak besar.Sungguh kurang sopan...dan perasan.


.

Thursday 3 September 2009

Merdekakan puasamu


Cik Pah termenung di jendela.Teringat pada anak-anak yang sudah besar panjang.Teringat baju raya yang ditempah petang semalam.Teringat itu,teringat ini.Teringat juga kata-kata ustaz Zali dalam tazkirah Subuh di masjid pagi tadi.

"Kita kadang kala salah mendefinisikan puasa itu kepada menahan lapar dan dahaga sahaja.Lalu masing-masing sibuk menyediakan segala macam juadah berbuka tanpa mahu mengambil berkat Ramadhan itu untuk menambah amalan dan menghapuskan dosa."

Realitinya memang begitu.Seusai solat Subuh Cik Pah sudah berkira-kira apa yang mahu disediakan sebagai juadah berbuka.Setiap hari selepas Asar dia akan mengajak suaminya,Awang Bulan ke bazar Ramadhan membeli murtabak dan air jagung.Sedangkan jika bukan dalam bulan puasa mahu ke masjid seminggu sekali pun jarang-jarang.Belanjawan dalam bulan puasa pula lebih tinggi dari hari biasa walhal makannya hanya sekali waktu berbuka dan sedikit ketika bersahur.Untuk persiapan raya,Almond London dan Tart Jem sudah ditempah dengan Kak Yam Kuih Tart,rempeyek dibeli dari Kalsom dan maruku mahu dibuatnya sendiri seminggu sebelum raya.Dua pasang baju kurung sedang dijahit Yati kampung sebelah dan baju tanah hitam bunga merah sudah siap tergantung dalam gerobok sebulan sebelum puasa.Langsir dan perabot?Nanti-nantilah...

"Yang pasti tanpa kita sedari,raya yang lebih diraikan dalam bulan ini,bukan Ramadhan itu sendiri."

Terkena batang hidung sendiri.

"Pejuang Badar tetap turun berperang waima mereka berpuasa.Semata-mata mahu dekat dengan Allah.Namun kita yang hidup tenang aman ini tidak pula berusaha untuk berada dekat denganNya.Sedangkan kita dan mereka sama-sama sedang berpuasa."

Lama Cik Pah bermenung.Dia mendongak kepalanya sedikit,membuang pandangan jauh ke tengah bendang.Cik Pah mahu puasa kali ini tak sama dengan yang sebelumnya.Dan Ramadhan kali ini berbeza dengan Ramadhan sebelumnya.Tibanya Ramadhan menandakan terbukanya pintu -pintu syurga,tertutupnya pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan.Cik Pah seru hatinya agar tenang beramal pada Yang Esa.Biar jiwanya bertemu malam itu.Malam penuh keberkatan menyamai seribu bulan.Tiada apa yang dimahunya kecuali ganjaran pahala penunjuk jalan ke syurga.Dan Cik Pah tahu bukan dia seorang yang begitu sebenarnya.


.